Assalamualaikum....
Hari ni cikgu nak share tips didik anak rajin solat. Cikgu rasa tips ni sangat berguna. Sape nak dapat manfaat, kenalah baca sampai habis. ^_^
Soalan :
SAYA mempunyai seorang anak lelaki yang sangat degil, sukar mendengar
kata, gemar melawan saya dan suami serta malas mengerjakan solat. Sudah
letih mulut saya dan suami menasihatinya tetapi tidak berjaya. Adakah
ustaz mempunyai sebarang petua atau doa yang boleh kami suami isteri
amalkan bagi membuka dan melembutkan hatinya supaya mengerjakan
perintah Allah.
Ibu Risau,
Kajang
Jawapan :
Hadis
riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim daripada Amir bin Syuaib,
Rasulullah SAW bersabda: Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat apabila
mereka sudah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang
meninggalkannya apabila umur mereka sudah sampai 10 tahun dan pisahkan
tempat tidur mereka
Sebenarnya pendidikan solat perlu dilakukan
sejak anak masih kecil. Walaupun kanak-kanak kecil tidak wajib solat
sebagai mana hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah bahawa Nabi SAW
bersabda: Diangkat kalam daripada tiga orang iaitu: orang yang sedang
tidur sehingga dia terjaga dari tidur, dari anak kecil sehingga ia
bermimpi (mencapai umur baligh) dan orang gila sehingga dia sembuh
kembali, namun hendaklah disuruh mereka bersolat apabila mereka sudah
mencapai umur tujuh tahun.
Dan hendaklah mereka diherdik jika
tidak mahu mengerjakan solat apabila umur mereka sudah mencapai 10
tahun. Perkara ini dilakukan sebagai latihan supaya selepas mereka
baligh, mereka tidak berasa keberatan untuk menunaikan perintah Allah.
Berikut beberapa panduan atau tip yang boleh dilakukan ibu bapa bagi mendidik anak supaya rajin mengerjakan solat.
1- bagi ibu bapa, sebaiknya-baiknya apabila hendak melakukan
solat, lakukanlah di tempat terbuka yang anak mereka dapat menyaksikan
perbuatan kedua-dua ibu bapanya. Begitu juga apabila hendak membaca
al-Quran, bacalah di tempat anak mereka dapat mendengar dan
menyaksikannya.
Jika sedari kecil mereka melihat ibu bapa mereka
sentiasa melakukan solat dan membaca al-Quran, Insya-Allah jiwa anak
kecil ini akan mudah tertarik dan menuju ke arah melakukan ketaatan,
apalagi dalam soal ibadat dan solat yang menjadi tiang agama.
2- pastikan anak membesar dan didik dalam suasana keagamaan yang
sempurna.
Berikan bahan bacaan yang baik dan lebih mendekatkan dirinya kepada
Allah SWT. Begitu juga, pastikan anak itu bersahabat dengan
rakan-rakannya yang baik dan beragama supaya mereka membesar dan
mempunyai asas agama yang kukuh.
3- dekatkan mereka dengan
masjid. Ibu bapa perlu membawa anak solat berjemaah di masjid. Didik
mereka supaya sentiasa bersedekah kepada tabung masjid. Tidak
ketinggalan, tanamkan dalam diri mereka minat menyertai majlis-majlis
ilmu yang diadakan di sana.
4- didik mereka untuk cinta
dan menghormati alim ulama. Perkenalkan dan dekatkan mereka dengan
alim ulama. Bawa mereka untuk menziarahi orang alim jika berkesempatan.
5- adalah menjadi kewajipan untuk ibu bapa untuk menghantar
anak-anak mereka ke sekolah agama supaya lebih terurus dan terpandu
kiblat agamanya. Di sana mereka akan dididik juga dengan perkara yang
kadangkala ibu bapa tidak mampu membentuk dan mengajarnya.
6- bagi ibu bapa sendiri, perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT
supaya menjadikan zuriat mereka anak yang soleh. Banyakkan berdoa
kepada Allah SWT apabila diuji dengan kehadiran anak yang bermasalah
supaya Tuhan Yang Esa dapat mengubah mereka menjadi insan yang
beriman dan taat kepada Allah. Wallahualam