Kebanyakan penyebab masalah penyusuan ialah seperti berikut
* Lewat memulakan penyusuan
* Penyusuan yang tidak kerap dan terlalu berjadual.
* Mencampurkannya dengan susu formula, air atau jus.
* Menggunakan puting kosong atau buaian elektrik
* Kedudukan menyusu dan cara hisapan yang tidak betul
* Bayi tidak diberi susu pada waktu malam. (Atau diberi susu formula atau susu ibu yang diperah)
PUTING SAKIT
Puting yang sakit ialah tanda-tanda hisapan yang tidak betul. Bila bayi menyusu, bibirnya perlu berada di luar dan seluruh bahagian areola berada dalam mulutnya. Untuk memperbaiki keadaan ini, tarik dagu bayi ke bawah dengan perlahan dan keluarkan bibirnya jika mendapati bibirnya termasuk ke dalam ketika menghisap. Jangan gunakan pelapik baju dalam yang kalis air jika mendapati puting sakit. Setiap kali hendak penyusuan selesai, perah sedikit susu dan sapu pada puting. Cara ini boleh membantu mempercepatkan ibu sembuh.
KEKELIRUAN PUTING
Bagi sesetengah bayi, hisapan pada puting kosong atau puting botol akan menjejaskan hisapan pada payu dara. Ini kerana pola hisapan antara puting botol dan payu dara adalah berbeza. Bayi yang pernah diberi susu botol akan menghisap payu dara ibu dengan cara yang sama seperti menghisap puting botol. Oleh itu, puting ibu akan terasa sakit. Hisapan pada puting botol juga tidak perlu terlalu kuat kerana susu mudah mengalir keluar dari botol. Apabila bayi menggunakan cara yang sama untuk menghisap puting payu dara ibu, susu ibu akan kurang mengalir keluar. Ini menyebabkan bayi tidak mendapat cukup susu manakala ibu menyangka susunya tidak cukup banyak untuk bayi. Dia terpaksa memberi susu botol. Ini menjadikan bayi lebih gemar susu botol dan akhirnya bayi kurang berminat dengan susu ibu. Lama kelamaan, bayi akan menyusu susu botol sepenuhnya. Bagi mengelakkan kekeliruan ini, nsaihatkan anak atau menantu anda agar memberi susu ibu sepenuhnya selama empat bulan. Jangan beri susu botol terlalu awal. Jika terpaksa mencampurkan susu ibu dengan susu formula, gunakan lah cawan kecil, sudu kecil, penyuntik ubat atau lain-lain peralatan.
BAYI MENGANTUK
Jika berat badan bayi tidak meningkat dengan baik dan sentiasa sahaja tertidur ketika menyusu, bayi perlu dikejutkan dengan kerap. Untuk mengatasi masalah ini, jangan balut bayi dan pastikan kulitnya bersentuhan dengan kulit ibu ketika sedang menyusu. Bagi mengatasi kesejukan, selimut bayi dengan kain selimut selepas meletakkan dia dengan betul di payu dara. Selain itu, urut kakinya bagi membuatkan dia terjaga.
SENDAWA
Sesetengah orang terutama dari generasi anda menyangka kita perlu membuatkan bayi sendawa selepas menyusu. Pendapat ini tidak tepat. Bayi tidak semestinya sendawa. Memang baik jika bayi sendawa selepas membuat beberapa percubaan untuk membolehkannya sendawa. Tetapi tidak mengapa jika dia tidak sendawa langsung setelah mencuba beberapa kali.
PEMAKANAN IBU DAN PENGAMBILAN AIR
Dalam kebanyakan kes, ibu menyusu perlu kira-kira 300-500 kalori lebih daripada biasa bagi mengekalkan berat badannya. Ibu menyusu perlu makan makanan seimbang dan makanan semulajadi. Elakkan makanan yang diproses. Jika bayi meragam, periksa samada ibu telah makan makanan yang tidak sesuai dan sensitif terhadap bayi. Minum lebih banyak air bagi menambah pengaliran susu. Tapi, jangan minum berlebihan. Minum sekadar untuk menghilangkan dahaga. Biasanya, ibu menyusu akan terlupa minum kerana sibuk menjaga anak. Terdapat juga kepercayaan lama bahawa ibu yang masih dalam pantang tidak boleh minum banyak air. Pendapat ini salah dan akan memberi kesan kepada pengaliran susu ibu.
ENGGAN MENERIMA BOTOL
Jika bayi enggan menerima susu ibu daripada botol ketika anak atau menantu anda bersedia untuk kembali ke tempat kerja, anda perlu latih cucu anda itu secara perlahan-lahan. Beri susu melalui botol dengan cara memangkunya dan mendodoinya perlahan-lahan. Anda juga boleh memberi susu melalui botol ketika dia mengantuk. Adalah lebih baik jika anda atau ahli keluarga lain yang memberikannya botol, bukan ibunya sendiri.
BERHENTI MENYUSU BUAT SEMENTARA WAKTU
Ada ketika, anak atau menantu anda tidak boleh menyusu bayi buat sementara waktu tapi masih mahukan agar susu terus mengalir kerana hendak mempastikan yang bayi tetap mendapat khasiat susu ibu. Oleh itu, galakkan anak atau menantu anda memerah susunya dalam jangkamasa yang sama dengan penyusuan susu ibu yang dilakukannya sebelum ini. Cara perahan yang baik ialah menggunakan tangan. Caranya ialah seperti berikut :- Letak ibu jari di atas puting dan dua jari lain di bawah, agak jauh daripada areola. Tolak jari ke belakang sehingga ke dinding dada. Kemudian, tolak semula ke depan. Lakukan beberapa kali. Elakkan memicit puting. Jika mempunyai payu dara besar, ampu payu dara itu dengan tangan yang sebelah lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment